Venice di Sungai Melaka

Dengan jumlah kehadiran pelancong yang semakin besar, Melaka kini mengatur pelbagai perancangan untuk meningkatkan kemudahan hospitalitinya.



SLOGAN Melawat Melaka Bersejarah bererti Melawat Malaysia yang menjadi tagline promosi berkaitan. Ia banyak membantu usaha kerajaan meningkatkan industri pelancongan di negeri bersejarah itu.
Kebanjiran pelancong seramai enam juta di negeri ini pada tahun lalu telah membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan, perniagaan dan menambah pendapatan rakyat.
Pelancong yang datang dianggarkan berbelanja sejumlah RM3 bilion iaitu 31 peratus untuk tempat tinggal, 22 peratus bagi membeli-belah dan 17 peratus untuk makan-makan.
Pada tahun ini, kerajaan negeri mensasarkan 6.8 juta pelancong dengan anggaran mereka akan berbelanja sebanyak RM3.4 bilion manakala menjelang tahun 2010, sasarannya ialah 8.2 juta pelancong.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang pesat untuk kemakmuran rakyat, kerajaan negeri Melaka sedang membina beberapa projek baru yang mampu memberi impak tinggi kepada sektor berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan Sungai Melaka sebagai sumber pertumbuhan baru dengan keseluruhan kos RM320 juta yang apabila siap sepenuhnya kelak, ia setanding dengan Sungai San Antonio di Amerika Syarikat yang terkenal dengan kebersihan dan keindahannya.
Beberapa projek 'value added' akan dibina di sepanjang tebing Sungai Melaka antaranya pembinaan Hotel Butik Casa Del Rio bernilai RM85 juta, Ferris Whell, Viking Ship dan Trampoline Bunggy bernilai RM3.3 juta, kincir air bernilai RM1.5 juta, kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bernilai RM35 juta dan marina berharga RM25 juta.
Projek lain ialah pembinaan Menara Berputar Taming Sari di Bandar Hilir bernilai RM24 juta yang akan beroperasi Mac ini, Planetarium dan Melaka International Bowling Centre masing-masing bernilai RM20 juta dan Rumah Batik berharga RM4 juta kesemuanya akan dibina di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

SUNGAI MELAKA dinaik taraf agar setanding dengan kehebatan Sungai San Antonio di Amerika Syarikat.


Mohd Ali meminta rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak projek pelancongan berimpak tinggi yang melibatkan bantuan peruntukan dari kerajaan pusat dapat dilaksanakan di negeri ini.
Kerajaan negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan, Tourism Malaysia Melaka, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan agensi-agensi berkaitan sentiasa meningkatkan usaha menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terunggul di rantau ini.
Melaka juga kerap dipilih menjadi tuan rumah kepada acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa, yang membantu menarik pengunjung ke negeri ini.
Pada tahun ini, beberapa acara pelancongan utama akan terus dianjurkan termasuk Melaka Tourism Street Carnival di Hang Tuah Mall, Melaka International Regatta 2008, Pesta Sungai Melaka, Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Karnival Udara Antarabangsa Melaka, Melaka International Tourism Show, Light Up Celebration, Raptor Watch, Pesta Gendang Nusantara, Larian Antarabangsa Melaka Bandaraya Bersejarah, Pesta San Pedro serta Festival Songket dan Batik.
Katanya, kerajaan negeri memberi penekanan kepada program pelancongan bertaraf antarabangsa untuk menarik minat pelancong bukan saja dari segi kuantiti malahan kualiti.
"Kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) agar Melaka disenaraikan sebagai kota warisan dunia dan berharap memperoleh pengiktirafan itu selewat-lewatnya Ogos depan.
"Dengan pengiktirafan tersebut, Melaka akan terus terkenal sebagai destinasi pelancongan utama luar negara," katanya.
Untuk menyokong usaha tersebut, kerja-kerja penyelidikan dan arkeologi Tembok Kota Melaka sedang giat dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Pusat berjumlah RM12.8 juta.
Di samping kaya dengan produk pelancongan berunsurkan sejarah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga zaman penjajah, pelbagai produk pelancongan lain turut dibangunkan untuk memberi kepuasan kepada pelancong.
Ini termasuk pusat rekreasi, Taman Buaya, Taman Mini Malaysia dan ASEAN, Taman Rama-Rama, Taman Merak dan Burung Melaka, Taman Seribu Bunga dan Zoo Melaka.
Selain itu, terdapat lebih 20 buah muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka dan swasta yang sentiasa menanti pelawat dari seluruh dunia.
Melaka juga umpama 'syurga membeli-belah' dengan ribuan premis perniagaan dari gerai hingga pasar raya besar.
Penginapan tidak menjadi masalah kerana setakat ini, terdapat 5,096 bilik hotel, bilik resort (2,458), bilik Chalet (484) dan bilik homestay (136). - Bernama
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0222&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2jfPWX6rK
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment