Galeri Golf Melaka

Jadi Pusat Rujukan, Info, Pameran
 Galeri Golf Melaka di Jalan Banda Kaba

BANDARAYA MELAKA- Galeri Golf Melaka merupakan satu lagi produk pelancongan terbaru yang mampu meletakkan Melaka sebagai destinasi pilihan golf terkemuka, terutama peminat-peminat sukan berprestij berkenaan serta pelancong.

Terletak di Jalan Banda Kaba, Galeri Golf Melaka menempatkan ruang pameran yang menghimpunkan pelbagai koleksi peribadi berkaitan golf milik Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, selaku pencetus idea bernas di sebalik penubuhan galeri berkenaan. Galeri Golf Melaka mula dibuka kepada umum pada 15 April 2012 turut menerima sumbangan barangan koleksi dari pelbagai pihak yang jelas memperlihatkan sokongan padu mereka kepada usaha berterusan Kerajaan negeri membangunkan industri pelancongan sukan(sports tourism), berasaskan sukan golf di negeri ini.

Sebaik melangkah masuk ke Galeri Golf Melaka, pengunjung pastinya teruja melihat pelbagai koleksi berkaitan golf termasuk informasi berkaitan sejarah sukan golf; piala; peralatan golf serta rakaman foto-foto eksklusif membabitkan pertandingan-pertandingan berprestij di peringkat amatur, nasional dan antarabangsa.

Mohd Khalil merupakan
peminat sukan golf yang
telah mencetuskan idea
di sebalik kewujudan
Galeri Golf Melaka
Menariknya, sebagai peminat sukan golf, Tun Mohd Khalil juga turut mempamerkan beberapa lukisan hasil sentuhan tangan beliau sebagai sebahagian dari koleksi eksklusif untuk dikongsi bersama pengunjung di Galeri Golf Melaka.

Kewujudan Galeri Golf Melaka yang direalisasikan oleh Kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), dilihat amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan negeri untuk menyemarakkan lagi sukan golf di Malaysia, khususnya di Melaka bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat serta pelancong mengenali secara lebih dekat sukan golf iaitu sukan yang sebelum ini dianggap hanya terhad kepada golongan elit sahaja.

Kita yakin dan percaya selepas majlis pembukaan rasmi Galeri Golf Melaka yang disempurnakan oleh Tun Mohd Khalil, Galeri Golf Melaka akan berfungsi sebagai pusat maklumat, pameran dan rujukan penting berkaitan sukan golf.

Galeri tersebut juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan golf di Melaka ke arah melahirkan lebih ramai atlet golf berkualiti yang dapat mengharumkan nama Melaka di peringkat kebangsaan dan persada dunia.

Yang jelas, Galeri Golf Melaka adalah satu lagi kejayaan Kerajaan negeri dalam menambahkan produk pelancongan berteraskan pendidikan yang tentu akan memberi manfaat kepada pengunjung serta pelancong yang bertandang ke galeri tersebut.

Globe gergasi yang memaparkan foto dan informasi beberapa kejohanan golf

Antara koleksi yang dipamerkan di Galeri Golf Melaka


  
Galeri Golf Melaka/Melaka Golf Gallery Malaysia
Melaka Hari Ini@gotomelaka.blogspot.com


No comments:

Post a Comment